PARIT 2 April – Seorang lelaki yang kudung kaki kanan ditahan polis awal hari ini setelah disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dan curi motosikal di sekitar daerah Perak Tengah bulan lalu.

Lelaki kudung kaki ditahan kes pecah rumah, curi motosikal


BARANGAN curi yang dirampas setelah polis menahan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dalam serbuan di hadapan sebuah kedai di Jalan Tun Razak di Ipoh hari ini. – UTUSAN ONLINE

Lelaki berusia 32 tahun yang juga penganggur itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah menerusi Op Pintu di hadapan sebuah kedai di Jalan Tun Razak di Ipoh pada pukul 12.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Mohamad Zainal Abdullah berkata, usaha mengesan lelaki itu dilakukan sejak dua minggu lalu selepas beberapa kejadian pecah rumah dan curi motosikal dilaporkan kepada pihak polis.

Katanya, lelaki itu bagaimanapun berjaya dikesan minggu lalu namun dia berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan motosikal yang dicuri dan tongkat yang dipakainya.

“Berdasarkan maklumat dan risikan yang dilakukan, kita berjaya memberkas lelaki terbabit dalam serbuan di Ipoh pagi tadi. Lelaki itu ditahan bersama sebuah motosikal disyaki dicuri dan dua utas jam tangan.

“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah peralatan yang dipercayai untuk pecah rumah termasuk gunting, sebilah pisau pemotong sayur dan tiga batang playar,” katanya di sini hari ini.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap lelaki itu mendapati positif dadah jenis morfin dan pemeriksaan mendapati dia turut mempunyai lapan rekod jenayah lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Siasatan awal terhadap suspek mengaku terlibat dalam enam kes jenayah di sekitar daerah Perak Tengah sejak bulan lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE