IPOH: Seorang lelaki lemas ketika menjala ikan di sungai berhampiran Taman Tasek Bakti dekat sini petang Selasa.

Mayat mangsa, Abu Bakar Ahmad, 46, ditemui jam 11.50 malam, kira-kira 2.5 kilometer dari jarak mula pencarian.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa jam 7.42 malam.

Setibanya di tempat kejadian, isteri mangsa memaklumkan suaminya turun menjala sejak 6.30 petang.

“Pasukan bomba membuat pencarian melalui dalam sungai dengan kedalaman satu meter menghala ke hulu sungai,” katanya pada Rabu.

Menurutnya, mangsa ditemui di dalam sungai dan disahkan meninggal dunia.

Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.