IPOH – Penduduk cemas selepas terlihat seorang lelaki berenang sendirian di Sungai Kinta berhampiran Pangsapuri Kinta Height, di sini, kelmarin, sehingga memaksa mereka menghubungi Bomba bagi menyelamatkannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, lelaki berusia 22 tahun itu gagal naik ke darat berikutan keadaan tebing sungai yang curam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Jamaluddin Mohd Amin berkata, enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira  5.58 petang.

“Setibanya di lokasi kejadian, kita nampak mangsa yang merupakan orang Asli berenang di tebing yang mempunyai kedalaman 0.6 meter gagal naik ke atas kerana curam.

“Kita cuba tarik mangsa dengan tangan tetapi dia menolaknya dan terus menyusur di tebing sungai sejauh 50 meter. Kemudian, kami melontarnya tali untuk membantunya naik ke tempat yang selamat,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa dalam keadaan mabuk hingga terjun ke dalam sungai terbabit.

“Mangsa diserahkan kepada Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dan menghantar mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

-Sinarharian