IPOH: Seorang lelaki mengalami kerugian lebih RM180,000 selepas dikatakan disamun empat lelaki bersenjata di Ipoh pada Selasa.

Ketua Jabatan dan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tack Kee berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan MyVi mangsa telah dihalang oleh sebuah kenderaan Toyota Vios milik suspek.

Menurutnya, mangsa berusia 30 tahun dipercayai baru sahaja mengeluarkan duit dengan jumlah banyak dari bank terdekat dan meletakkannya di dalam kenderaan sebelum kejadian samun itu berlaku.

“Ketika sedang memandu, secara tiba-tiba datang sebuah kereta yang menghalang Myvi mangsa dan bertindak memancitkan tayar belakang dan memecahkan cermin di tempat duduk penumpang hadapan.

“Keempat-empat suspek yang bersenjatakan parang itu kemudian menyamun mangsa dan mengambil beg duit yang mengandungi wang tunai bernilai RM180,000,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Perak Tengah pada Rabu.

Ujar beliau, kejadian samun tersebut merupakan kes kedua sejak lima bulan lalu, melibatkan modus operandi yang sama.

Gan berkata, terdapat tiga kumpulan dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan di mana satu kumpulan akan memerhati gerak-geri mangsa di dalam bank.

Sejurus itu, dua lagi kumpulan masing-masing akan mengekori dan menghalang pergerakan mangsa.

“Ini bukan modus operandi terbaru, malah kejadian seperti memancitkan tayar dan memecahkan cermin kenderaan pernah berlaku, seringkali mereka yang terlibat adalah mereka yang meletakkan kenderaan dan mempunyai harta benda bernilai.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kesemua suspek juga tidak memakai topeng ketika kejadian berlaku,” ujarnya.