GERIK – Mayat seorang lelaki dengan motosikal berkuasa tinggi ditemui berhampiran Ladang Sungai Rui, Ban Pasir, Jalan Gerik-Kupang, di sini, dengan kesan tembakan di dada, kepala dan perut mangsa.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, hasil sisatan mendapati mayat lelaki tempatan berumur 38 tahun itu dijumpai kira-kira jam 4 petang semalam menerusi aduan orang awam.

“Ketika dijumpai, mayat masih lengkap berpakaian dan terdapat sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki berhampiran mayat.

“Turut dijumpai berhampiran mayat, tiga butir kelongsong peluru dan siasatan masih dijalankan di tempat kejadian bagi mengenal pasti motif kejadian dengan dibantu Jabatan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Siasatan sedang dijalankan dalam semua aspek untuk mengetahui punca kejadian, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) esok untuk bedah siasat.