BATU GAJAH – Seorang lelaki akhirnya ditemukan mati lemas hari ini, selepas 24 jam hilang ketika berenang di sebuah lombong berhampiran Kampung Pisang di sini, pada Khamis.

Mayat mangsa, S. Ravikumar, 29, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 5.35 petang kira-kira sembilan meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Mohd. Jamaluddin Mat Yusop berkata, sepasukan anggota dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.18 petang semalam.

Beliau berkata, operasi dijalankan dengan melakukan pencarian di permukaan sejauh 30 meter dari tebing lombong dengan menggunakan dua buah bot.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa dianggotai bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain bantuan dari pasukan penyelamat di air (PPDA) Ipoh.

“Mayat mangsa yang berjaya dijumpai dibawa naik ke tebing lombong dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 6.20 petang,” katanya ketika dihubung Suara Perak.

Mohd Jamaluddin berkata mangsa bersama dua orang rakannya pergi memancing dan mangsa telah mandi di kawasan tersebut lalu tenggelam.

Operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Zainal Abidin Wok dengan dibantu lapan anggota BBP Batu Gajah, empat anggota PPDA BBP Ipoh dan BBP Kuala Kangsar dan 17 anggota polis.