IPOH – Seorang lelaki maut setelah motornya melanggar sebuah kereta, tercampak dan terperosok di bawah sebuah treler dalam satu kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Simpang Pulai-changkat larang, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.25 malam dan menghantar sepasukan anggota ke tempat kejadian.

“Bomba menerima panggilan memaklumkan kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori treler, sebuah kereta Perodua Alza dan sebuah motosikal Honda EX5.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati penunggang motosikal tersebut telah melanggar Perodua Alza yang membuat pusingan U secara mengejut dan mengakibatkan mangsa tercampak di laluan bertentangan dan terperosok di bahagian bawah treler,” ujar beliau ketika dihubungi Suara Perak.

Menurut beliau, mangsa berusia dalam lingkungan 20-an telah disahkan maut oleh pasukan perubatan yang hadir.

“Anggota telah bertindak mengeluarkan mayat mangsa dengan menggunakan pengusung, sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pemandu Alza serta pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” tambah beliau.

Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Manap Hashim dan tamat sepenuhnya pada pukul 9.44 malam.