KAPAR: Seorang lelaki maut digilis bas miliknya ketika sedang membaiki kerosakan kenderaan itu di hadapan Masjid At-Taqwa, Bukit Kapar, Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan, berkata dalam kejadian jam 11.25 pagi, Mohd Fuad Suratman berada di bawah bas itu untuk membaiki kerosakan klac pada kenderaan berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, bas yang diparkir di kawasan lapang di hadapan masjid itu dipercayai mengundur sendiri dalam keadaan enjin masih hidup dan menggilis mangsa.

“Lelaki berusia 51 tahun itu digilis di bahagian kepala dan perut. Bas hanya berhenti selepas melanggar tembok pagar masjid terbabit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat pada jam 2.30 petang tadi,” katanya.

Mazelan berkata, keluarga juga sudah membuat pengecaman terhadap mayat mangsa.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.