KUALA LUMPUR: Seorang lelaki gelandangan maut akibat dipukul dengan tokong kecil oleh seorang lelaki disyaki mabuk dalam kejadian di Jalan Genting Klang, Setapak di sini, malam tadi.

Mangsa yang belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata sepasukan anggota polis yang ke lokasi selepas menerima laporan kejadian pada jam 11.54 malam berjaya menahan suspek.

“Sebelum ditahan, suspek dilihat berkelakuan agresif dan berdiri di tengah-tengah jalan raya dalam keadaan tubuhnya berlumuran darah.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 42 tahun dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, pemeriksaan di tempat kejadian menemui kesan pergelutan dan kesan darah di atas permukaan jalan raya.

“Buat masa ini identiti mangsa belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui padanya.

“Orang awam memaklumkan mangsa adalah gelandangan yang sering dilihat berkeliaran dan tinggal di kawasan berkenaan,” kata Mazlan.

Katanya, siasatan turut menemui tokong kecil yang dipercayai dijadikan senjata untuk membunuh mangsa.

“Suspek kini ditahan dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat hari ini.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya – berita harian