BATU GAJAH – Seorang warga emas meninggal dunia akibat dirempuh sebuah kereta yang dipandu isterinya dalam satu kejadian berhampiran pekarangan rumah mereka di Taman Intan, semalam.

Kejadian sekitar jam 10.25 pagi itu berlaku, ketika isteri mangsa berusia 65 tahun, mengundurkan Toyota Corolla sebelum hilang kawalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Superintendan Tan Boon Hooi berkata, ketika mengundurkan kereta, isteri mangsa gagal mengawal kenderaan terbabit lalu merempuh tiang rumah.

Menurutnya, mangsa yang kebetulan sedang berjalan kaki di belakang kenderaan turut dilanggar.

“Mangsa berusia 68 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan dada, sementara isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan, bagaimanapun bahagian kiri dan belakang kereta mengalami kerosakan teruk.

“Kejadian berlaku ketika isteri mangsa pulang dari Pasar Batu Gajah,” katanya.

Beliau berkata, polis telah merakam percakapan saksi berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – sinar