JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut selepas ditikam dan dilanggar dengan sebuah kenderaan dinaiki sekumpulan lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi di sini, malam Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kenderaan mereka di stesen minyak berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd berkata, kesemua suspek yang menaiki kenderaan mewah BMW secara tiba-tiba datang dan cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka hingga berlaku pergelutan sebelum mangsa berjaya meloloskan diri.
“Suspek bertindak melanggar mangsa sebanyak dua kali sebelum mengundur dan melarikan diri.

“Mangsa berusia 30-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan tikaman pada dada kiri lelaki terbabit,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Ahad.

Tambah Mohd. Khalil, pihaknya telah mengambil keterangan wanita warga asing itu yang sempat melarikan diri untuk meminta pertolongan.

Katanya, wanita itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek melemparkan beberapa jenis bahan letupan dipercayai mercun untuk menakutkan orang awam yang berada di stesen minyak terbabit,” katanya.

Ujar beliau, pihaknya giat memburu suspek dan menyiasat punca kejadian serta kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.