KOTA TINGGI: Seorang buruh Bangladesh maut apabila jambatan dalam pembinaan berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Rengit, dekat sini, runtuh pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Ahsmon Bajah, berkata Ainul Hoque, 41, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai dihempap konkrit yang jatuh.

“Tiada mangsa lain terbabit. Kes adalah terpencil dan siasatan dikelaskan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penawar, Azlan Mohd Soberi, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 9.44 pagi sebelum sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi.

“Ketika kejadian, mangsa sedang bekerja di situ. Penyelianya memaklumkan hanya seorang mangsa terjatuh bersama runtuhan jambatan berkenaan.

“Susulan itu, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terjatuh pada kedalaman tiga meter dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mayat ditemui dalam keadaan terduduk dan tiada binaan konkrit berada di badan mangsa. Operasi ditamatkan kira-kira jam 11 pagi,” katanya ketika dihubungi – berita harian