Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 39.3 Jalan Ipoh – Kuala Kangsar, di Salak pada Khamis.

Dalam kejadian sekitar 8.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Azlan Abdul Jalil, 27, maut di lokasi kejadian selepas keretanya bertembung lori yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Abd Fatah Abd Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut ketika dihubungi pada petang Khamis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta Perodua Alza dipandu mangsa yang menghala ke Ipoh berhenti di pembahagi jalan untuk masuk ke simpang taman perumahan.

Kereta-bertembung-lori 2

“Tiba-tiba sebuah kereta jenis Toyota Vios dari arah sama melanggar bahagian kiri kereta mangsa dan menyebabkan Perodua Alza tersebut tertolak masuk ke laluan bertentangan.

“Sebuah lori yang berada di laluan itu tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta dipandu Muhammad Azlan,” katanya kepada pemberita.

Abd Fattah berkata, berikutan impak rempuhan kuat, mangsa tersepit di dalam kenderaan dan maut di tempat kejadian.

“Keretanya juga mengalami kerosakan serius di bahagian depan dan belakang. Pemandu kereta Toyota Vios itu pula mengalami kecederaan dalaman dan dirawat di hospital di Ipoh,” katanya.

Jelasnya, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan akan diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.