IPOH – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pokok di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, mangsa Kong Weng Loon, 22, memandu dari arah Jalan Raja Dr Nazrin Shah menghala ke Jalan Raja Musa Mahadi bagaimanapun hilang kawalan ketika tiba di tempat kejadian.

Ketua Polis daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, akibat hilang kawalan, mangsa beralamat di Pasir Pinji itu terbabas lalu melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.

“Mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan bedah siasat akan dijalankan hari ini,”katanya.

Sementara itu, pihak Bomba dan Penyelamat Ipoh menerima panggilan jam 3.45 petang memaklumkan kejadian tersebut.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Jamaluddin Mohd Amin bergegas ke lokasi kejadian.

Anggota bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. -SinarHarian