GERIK – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila kereta jenis Honda City dinaiki, terbabas sebelum terbalik di Kilometer 71, Jalan Raya Timur Barat, di sini, hari ini.

Kereta dinaiki dua lelaki berusia dalam lingkungan 25 tahun itu dikatakan terbabas selepas melanggar bongkah simen penghadang jalan berhampiran terowong.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Mohd Nizam Zakaria berkata,, anggotanya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kes berkenaan pada kira-kira jam 11.25 pagi semalam.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati dua orang mangsa tersebut telah dikeluarkan orang awam. Pegawai perubatan merawat mangsa yang cedera.

“Manakala seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Anggota turut memeriksa kenderaan bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.58 tengah hari.

-Sinar Harian