Oleh:Nazialita Geynna Maharan

MANJUNG: Seorang lelaki maut apabila kenderaan jenis Proton Personanya terperosok di bawah sebuah lori seberat lima tan di Batu 11, Segari, dekat sini pada petang Rabu.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Penguasa Bomba Subki Yusuf berkata pihaknya menerima pangggilan mengenai insiden berkenaan sekitar 3.52 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila kenderaan mangsa bertembung secara berhadapan dengan lori tersebut sebelum terperosok ke bahagian bawah dan rempuhan telah meragut nyawa mangsa.

“Sebaik sahaja jentera BBP tiba di lokasi kejadian, kami dapati seorang mangsa lelaki telah tersepit di dalam kemalangan berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya kepada pemberita dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Jelasnya, anggota BBP Pantai Remis telah menggunakan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

Jelas Subki, keseluruhan operasi tamat sekitar 4.27 petang.