SHAH ALAM: Seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebuah motosikal sebelum terbabas dan melanggar tembok di persimpangan lampu isyarat Jalan Pengaturcara, Persiaran Kerjaya di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata siasatan mendapati pemandu kereta jenis Volkswagen, Yahya Ismail, 42, dipercayai memandu laju dari Jalan Pengaturcara.

“Saksi di tempat kejadian mendakwa kereta Yahya yang dipandu laju, melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah Persiaran Kerjaya sebelum terbabas melanggar tebing tembok batu di sebelah kiri jalan.

“Mangsa yang berasal dari Shah Alam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tujuan bedah siasat.

“Keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu beliau berkata, penunggang motosikal, Abdul Islam, 38, seorang warga Bangladesh yang cedera juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

Azman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Polis juga meminta jika ada saksi bebas berhubung kejadian itu tampil atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Zulkifli Razak dari JSPT Shah Alam atau mana-mana balai polis berhampiran – berita harian