KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut apabila lori dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 20.3 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 4 pagi, Mohd Faisal Zainudin, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.15 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu melanggar pembahagi jalan sebelum terjatuh ke dalam gaung,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azman berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), untuk bedah siasat.

“Kami sudah menghubungi waris mangsa bagi proses pengecaman. Orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Keterangan gambar:

1. Mohd Faisal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian apabila lori dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 20.3 NKVE arah selatan, Petaling Jaya, awal pagi tadi.

2. Lori dipandu mangsa yang melanggar pembahagi jalan sebelum terjatuh ke dalam gaung – berita harian