KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 49 tahun yang menjadi mangsa jangkitan virus rabies atau penyakit anjing gila di Sarawak disahkan meninggal dunia, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mangsa meninggal dunia pada 3.57 petang tadi di Hospital Umum Sarawak (HUS) disebabkan virus Encephalitis Rabies.

Dalam kenyataannya, hari ini, beliau berkata, kematian baharu kes itu menjadikan jumlah kematian adalah 11 daripada 12 kes yang disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak ia diisytiharkan wabak pada 30 Jun 2017 dengan kadar kematian 91.7 peratus.

Dr Noor Hisham, berkata ketika ini juga terdapat seorang lagi pesakit berusia 44 tahun dari Kuching yang disyaki dijangkiti virus rabies dimasukkan ke wad HUS pada Khamis lepas.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, lelaki itu tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau haiwan lain, namun pernah memukul seekor anjing liar yang menggigit isterinya pada 13 Jan 2018.

“Ketika itu, pesakit mempunyai luka terbuka di tangan kanannya. Dilaporkan bahawa anjing itu kemudiannya mati,” katanya.

“Pesakit itu tidak menerima sebarang rawatan walaupun sudah membawa isterinya ke hospital untuk rawatan dan vaksinasi.

“Bagaimanapun, lelaki itu mula mengalami sakit di tangan kanan dan mendapatkan rawatan pesakit luar pada 6 Ogos,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, keadaan pesakit bertambah teruk sejak 11 Ogos lalu apabila mengalami gejala kebas dan lemah tangan kanan, tidak boleh bergerak, ketegangan di leher dan hidrofobia.

Katanya, ujian ke atas sampel klinikal dijalankan untuk mengesahkan punca dan penyakit yang dihidapi.

Dalam kenyataan itu, beliau mengingatkan orang awam untuk mengambil langkah pencegahan jangkitan rabies, termasuk mencuci bahagian tubuh yang digigit dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

Selain itu, katanya, orang awam perlu mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit anjing atau haiwan yang agresif. – BERNAMA