IPOH: Seorang lelaki maut apabila motosikal dinaiki bergesel dengan sebuah lori di Jalan Kuala Kangsar berhampiran Pekan Chemor, di sini pagi Selasa.

Dalam kejadian jam 8.37 pagi itu, mangsa yang berumur 78 tahun dari Taman Hartawan Pertama Chemor, telah jatuh dan digilis oleh lori.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua kenderaan dari arah Jalan Chemor menghala ke Ipoh itu bergesel antara satu sama lain.

“Akibat dari geselan itu, mangsa yang menaiki motosikal jatuh dan digilis oleh lori tersebut.

“Mangsa meninggal di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Pemandu lori tersebut yang berumur 28 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bedah siasat masih dijalankan untuk mengetahui punca kematian mangsa dan tiada tangkapan dibuat,” tambah Mohd Ali.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.