RANAU: Seorang lelaki maut, manakala remaja perempuan parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori enam tan di Kilometer 109, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi di Jambatan Tamu Liwagu, penunggang motosikal, Sofian Ahmin, 22, maut di tempat kejadian, manakala pembonceng berusia 15 tahun patah kaki kanan dan cedera pergelangan tangan kiri.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan dari Pekan Ranau ke Sabindo di sini, manakala lori terbabit dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata berdasarkan siasatan awal, motosikal terbabit dipercayai hilang kawalan ketika tiba di jambatan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori.

“Akibat pertembungan itu, penunggang maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Ranau untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori berusia 53 tahun dan kelindan berumur 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian