Jitra: Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian kiri sebuah lori di Jalan Kampung Naga, Kepala Batas, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.35 petang, mangsa, Shaiful Suhaimi Md Saad, 41, dari Kampung Naga meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya dan kemalangan berlaku tidak jauh dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kubang, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa gagal mengelak sebuah lori yang tiba-tiba keluar dari simpang di sebelah kanan jalan.

Katanya,akibat jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa melanggar bahagian kiri lori itu dan terperosok di bawah lori serta maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat manakala pemandu lori berusia 48 tahun yang berasal dari Bukit Pinang ditahan untuk membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.

Mohd Ismail berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan kecederaan serius di kepala dan jenazah sudah dituntut keluarga.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – hmetro