IPOH: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan lain di Jalan Sultan Azlan Shah, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tasek pada tengahari semalam (Rabu).

Ketua Polis Daerah Polis Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata berikutan perlanggaran itu mangsa yang berusia 37 tahun yang menunggang motosikal dari Bercham maut di tempat kejadian.

“Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa yang menunggang motosikal menuju ke Jalan Kuala Kangsar telah hilang kawalan sebelum melanggar kenderaan secara berhadapan dan jatuh dari motosikalnya.

“Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi tujuan bedah siasat.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”katanya lagi.