DUNGUN: Seorang lelaki maut, manakala rakannya parah selepas dua motosikal yang ditunggangi dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 68.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Batu Tiong, dekat sini, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.48 petang itu, Mohd Rusmin Ibrahim, 36, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah PERODUA Myvi dipandu seorang lelaki dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki laluan kanan jalan.

Berikutan itu, kereta terbabit terlebih dahulu merempuh motosikal rakan mangsa, Nik Muhammad Amir Mazlan, 21, sebelum merempuh motosikal mangsa.

Nik Muhammad Amir cedera parah akibat kemalangan itu.

Ketika kejadian, mangsa bersama 17 rakannya berkonvoi dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang, untuk pulang ke Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut, manakala rakannya yang parah dikejarkan ke hospital sama.

“Ketika kejadian keadaan jalan lurus dan cuaca baik. Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – berita harian