KOTA TINGGI – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan dengan Perodua Axia di kilometer 60.8 Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.30 itu menyebabkan mangsa, Hosni Ibrahim, 46, beralamat di Felda Air Tawar 3 meninggal dunia akibat kecederaan parah dialami.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan berlaku berdekatan simpang Kampung Baru Seluyut membabitkan motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa dengan kereta dipandu seorang guru dari Pengerang.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Axia dari arah Sungai Rengit ketika sampai di tempat kejadian telah berhenti bagi membelok ke kanan untuk masuk ke simpang Kampung Baru Seluyut.

“Semasa sedang membelok tiba-tiba motosikal Honda EX5 datang dari arah yang sama telah melanggar bahagian kanan pintu pemandu Perodua Axia.

“Akibat dari kemalangan itu, pemandu Perodua Axia juga mengalami trauma dan cedera ringan manakala penunggang motosikal cedera parah dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk rawatan.

“Kira-kira jam 5.00 petang, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital,”katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, tempat kejadian merupakan jalan lurus dan terdapat garisan putus-putus sebagai pembahagi jalan.

“Cuaca ketika kejadian adalah baik pada waktu petang.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.

-SinarHarian