IPOH: Seorang lelaki maut setelah motosikalnya terbabas sebelum melanggar tembok jalan di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian sekitar 7.50 pagi itu, mangsa, Fazizul Saleh, 26 yang sedang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan lalu merempuh tembok jalan setinggi 8 kaki dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, hasil
siasatan, mangsa yang berasal dari Jalan Pasir Puteh itu cuba untuk menghentikan motosikalnya namun tidak sempat berbuat demikian.

“Terdapat kesan brek di jalan raya menunjukkan mangsa tidak sempat untuk mengelak daripada melanggar tembok (jalan mati) berkenaan.

“Berikutan impak rempuhan, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Sum berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi bedah siasat.

“Punca kematian mangsa adalah ‘Head And Chest Injury Consistent with Road Traffic Crash’ dan mayat mangsa telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengkebumian,” katanya lagi.