IPOH: Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat tiga apartment Desa Tambun, dekat sini awal pagi Jumaat.

Mangsa, Goey Cho Kiang, 33, dikatakan terjatuh ketika sedang memanjat bahagian luar salah sebuah rumah di apartment tersebut kerana dipercayai untuk bersembunyi dan melarikan diri.

Sebelum itu, seorang lelaki lain berumur 36 tahun bertengkar dengan seorang wanita warga China kerana berang kekasihnya itu membawa pulang mangsa ke rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati, pengawal keselamatan apartment itu menasihati pasangan berkenaan supaya menghentikan pertengkaran kerana bising dan mengganggu ketenteraman awam.

“Ketika pengawal tersebut sedang menasihati mereka, tiba-tiba mereka terdengar bunyi jeritan dari tingkat bawah apartment itu.

“Selepas membuat pemeriksaan, pengawal mendapati mangsa yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang telah terjatuh dari tingkat tiga apartment berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.