KAMPAR: Seorang lelaki mati lemas selepas terjun ke dalam sebuah lombong berhampiran pasar awam dekat sini, hari ini.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kampar berkata, dalam kejadian pada pukul 7.15 malam, lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai membunuh diri.

Katanya, BBP Kampar menerima panggilan pada pukul 7.36 malam mengenai laporan seorang lelaki cuba satu membunuh diri.

“Setibanya di tempat kejadian, kami mendapati lelaki itu telah terjun dan tidak kelihatan di permukaan air.

“Operasi mencari dijalankan dan mayatnya djumpai pada pukul 8.06 malam, kira-kira dua meter dari tebing lombong,” katanya di sini, malam Ahad.

Jurucakap itu berkata, pasukan bomba menggunakan besi pencengkam untuk mengesan kedudukan lelaki itu dan dia ditemui pada kedalaman satu meter di dalam lombong itu.

Tambahnya, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi itu yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Shariman Mohd Yusof tamat pada sekitar pukul 8.30 malam.