Oleh:Nazialita Geynna Maharan
LENGGONG: Seorang lelaki maut apabila kereta Perodua Kancil yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira di Kampung Gelok, di sini tengah malam Sabtu.
Lelaki berusi 35 tahun yang belum dikenal pasti identitinya itu maut selepas tersepit di bahagian pemandu.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Syed Mahathir Syed Nordin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kes itu kira-kira jam 12.30 tengah malam.
“Setibanya anggota di lokasi, kami mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan yang bertembung. Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit dalam Perodua Kancil.
“Pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Anggota kemudian bertindak mengeluarkan jenazah mangsa yang tersepit itu sebelum menyerahkannya
kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, enam mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu cedera ringan dan keluar sendiri daripada kenderaan masing-masing.
“Operasi ditamatkan selepas anggota mencuci jalan dan memastikan semua mangsa menerima rawatan awal dan tiada lagi mangsa tersepit dalam kenderaan,” ujarnya.