TAPAH: Hari terakhir Ramadan kali ini menyaksikan seorang maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bidor,dekat sini pada awal pagi Khamis.

Dalam kejadian sekitar 12.47 tengah malam itu,seorang lelaki berusia sekitar 20-an dipercayai tersepit di dalam kenderaan jenis Perodua Viva dan disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Pegawai Bomba Kanan II Shahril Musa berkata kemalangan tersebut melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Perodua Viva dan Alza serta Mitsubishi Triton.

“Setibanya pihak kami di lokasi, kami mendapati mangsa,seorang lelaki berbangsa Melayu berusia 20an tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak hospital.

“Seorang lagi rakan mangsa, lelaki di dalam Viva turut mengalmai kecederaan parah. Sementara itu, dua lagi lelaki di Triton berkenaan turut cedera parah dan seorang lagi cedera ringan,”katanya kepada pemberita.

Menurut Shahril, ketua operasinya mengerahkan anggota untuk menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa maut yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

“Mangsa yang mengalami kecederaan diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke hospital bagi rawatan,”ujarnya lagi.