Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SELAMA: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi wanita cedera apabila kenderaan mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Mat Saad Harun berhampiran kedai makan steamboat, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar lapan malam itu, lelaki yang merupakan pemandu kenderaan jenis Proton Waja berkenaan maut di tempat kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Selama, Penguasa Bomba Sulaiman Jaafar berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 8.11 malam dan segera ke lokasi.

“Setibanya di lokasi kami mendapati kemalangan tersebut melibatkan Proton Waja yang terbabas ke dalam parit dan dua orang terbabit dalam insiden ini.

“Mangsa, pemandu lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala penumpang wanita mengalami kecederaan berikutan rempuhan itu,”katanya.

Jelasnya, mangsa wanita itu telah diserahkan kepada pihak ambulans bagi rawatan lanjut manakala mayat lelaki berkenaan diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya.

Menurut Sulaiman, operasi tersebut berakhir sekitar sejam kemudian pada jam 9.03 malam.