KUALA LUMPUR: Seorang lelaki melecur di bahagian belakang badan dan muka akibat disimbah asid oleh dua lelaki tidak dikenali di hadapan Menara Olympia, Jalan Raja Chulan, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, berkata keterangan saksi memaklumkan dua lelaki menaiki motosikal Yamaha menyimbah asid terhadap mangsa yang menaiki kereta Audi melalui tingkap kenderaan itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu sendirian ketika kejadian itu.

“Mangsa yang berusia 40-an dikeluarkan dari kenderaannya dan dihantar ke Hospital Tung Shin oleh orang awam.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa melecur 12 hingga 20 peratus di bahagian belakang badan dan muka.

“Bagaimanapun, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan akan dipindahkan ke Hospital Prince Court untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Rudy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 6.35 petang.

Difahamkan, beliau berkata, kedua-dua suspek terbabit memakai jaket dan helmet berwarna hitam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja menggunakan senjata atau lain-lain bahan berbahaya – berita harian