BATU GAJAH 28 Julai – Seorang lelaki melecur 40 peratus apabila cuba membakar dirinya menggunakan minyak petrol, di sini hari ini.

Lelaki berusia 63 tahun itu melakukan perbuatan tersebut di kawasan terbuka di stesen teksi Batu Gajah dengan menyiram badannya dengan minyak petrol.

Menurut jurucakap bomba, orang awam yang melihat kejadian itu memadam api pada badan lelaki tersebut.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 7.04 petang.

“Kebakaran telah dipadamkan orang awam sebelum anggota bomba tiba ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba membuat rawatan awal dan mengangkat mangsa ke tempat yang selamat seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak ambulans,” katanya. – UTUSAN ONLINE