SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang selepas mencari madu di seberang Sungai Korbu, Kampung Kenang, dekat sini, Sabtu malam.

Bantuan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Sungai Siput dipanggil untuk membantu membawa pulang mayat mangsa yang berumur 30 tahun itu.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.21 petang.

“Kami menerima maklumat dari orang awam bahawa terdapat seorang lelaki Melayu berumur 40-an telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang mengambil madu bersama tiga orang rakan di seberang Sungai Korbu,” katanya di sini.

Menurutnya, pegawai dan anggota bomba berjaya membawa mangsa keluar dari lokasi dengan menggunakan peralatan menyelamat seperti tali, ‘webbing’ dan ‘scoop streacher’.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi ditamatkan kira-kira jam 10 malam.