IPOH – Seorang ejen pengurusan politik berusia 31 tahun dihukum penjara 18 bulan hari ini selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini kerana memiliki pelbagai lambang, logo, cop serta gelaran yang tidak diiktiraf kerajaan, hari ini.

Majistret Siti Hafiza Jaafar mengarahkan Shahirul Syafiq Shaharin @Hassan agar hukuman tertuduh dikira bermula dari tarikh penahanannya pada 30 Mac tahun ini. Tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 3 (1)

(A) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963 dan boleh didenda sehingga RM20,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Polis telah menyerbu rumah tertuduh di Enclave Residence, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini pada 30 Mac lalu kira-kira pukul 11.45 pagi menemukan barang-barang tersebut.

Ketika mengemukakan rayuan, tertuduh memohon supaya hukuman yang rendah dikenakan memandangkan dia telah insaf selepas berada di dalam penjara selama lima bulan.

Timbalan Pegawai Pendakwaraya Irna Julieza Maaras, bagaimanapun memohon kepada mahkamah agar hukuman yang setimpal dikenakan berdasarkan keseriusan jenayah yang telah dilakukan.

Terdahulu, media melaporkan tertuduh yang giat melakukan penyamaran menggunakan nama Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Perdana Menteri berjaya diberkas Bersama barang rampasan termasuk dua pistol dalam satu serbuan di banglo mewah di Jalan Sultan Azlan Shah.

Tertuduh menggunakan pangkat Datuk Seri mengaku sebagai orang kuat Perdana Menteri.

Berikutan tindakan tertuduh mengasari dan mengugut pengawal keselamatan menggunakan senjata api, kegiatan penyamarannya terbongkar.