TELUK INTAN 15 April – Seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan kerana memiliki dadah jenis heroin dan methamphetamine seberat 185.83 gram bernilai RM7,580 pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, lelaki itu ditangkap di tepi sebuah kuil di kebun kelapa sawit dekat Hutan Melintang pada pukul 6 petang.

Menurutnya, ketika ditahan lelaki berkenaan sedang memegang satu beg plastik berwarna hitam mengandungi 61 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 160.97 gram.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas sebuah beg kecil berzip dalam poket seluar dipakai oleh suspek pula menemukan 20 paket lut sinar berisi dadah disyaki heroin seberat 24 gram dan sepaket dadah methampethamine seberat 0.86 gram.

“Hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Dadah yang dirampas ini dipercayai untuk dipasarkan di sekitar daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Marzukhi berkata, turut disita ialah sebuah motosikal jenis Honda Beat dengan anggaran harga RM6,000 sekali gus menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM13,580.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE