MELAKA: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas dua tuduhan mengugut dengan meletakkan pisau pada leher dan mencederakan isterinya menggunakan batang kayu mop, dua minggu lalu.

A Ganesh, 44, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan meletakkan sebilah pisau pada leher mangsa, S Vijeyenthi, 38, sambil mengugut mahu membunuh mangsa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama menggunakan batang kayu mop.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam tahun atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Krubong Permai, kira-kira jam 8.30 malam, pada 20 Mac lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari tidak menawarkan jaminan bagi tujuan keselamatan mangsa, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan rendah dengan alasan menanggung dua anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan syarat tidak mengganggu mangsa atau jaminan ditarik balik serta-merta dan menetapkan 12 April ini, untuk sebutan semula kes – berita harian