MIRI: Seorang lelaki ‘naik hantu’ dan nekad menembak kakak kandungnya menggunakan senapang patah buatan sendiri, jam 11.30 malam tadi.

Dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tunku, di sini, mangsa berusia 47 tahun itu bagaimanapun terselamat dan hanya cedera di bahu kanan.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata suspek berusia 36 tahun itu dikatakan tiba-tiba mengamuk tanpa sebab dan membelasah mangsa yang baru pulang ke rumah dari majlis kenduri.

Beliau berkata, suspek kemudiannya melepaskan tembakan di dalam rumah menyebabkan mangsa melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek mengejar mangsa dan melepaskan tembakan ke arah belakang mangsa menyebabkan mangsa rebah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, beberapa anggota polis bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat berkaitan kejadian itu dan berjaya menahan suspek di rumah itu.

“Mangsa cedera di bahu kanan akibat terkena tembakan menggunakan peluru penabur itu.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Miri dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Meng Seah berkata, selaras senapang patah buatan sendiri turut yang digunakan suspek turut dirampas.

“Suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut dan polis masih menjalankan siasatan mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya.

Difahamkan, suspek yang juga penganggur itu dipercayai di bawah pengaruh alkohol – berita harian