KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang ‘naik hantu’ menikam bonet dan memecahkan cermin sebuah kereta PROTON Persona di Bulatan Segambut, menghala ke ibu kota, di sini, petang kelmarin.

Lelaki berkenaan yang memandu PERODUA Axia berbuat demikian selepas berang dengan cara pemanduan pemilik kenderaan terbabit.

Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, lelaki berkenaan turut memanggil pemandu PROTON Persona supaya keluar dari kenderaan, namun sempat diredakan beberapa pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata lelaki itu bagaimanapun ditahan di Balai Polis Sentul sejurus kejadian ketika tampil membuat laporan.

Katanya, setiba di Bulatan Segambut, pemandu PERODUA Axia menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang memandu PROTON Persona selepas mendakwa mangsa memandu dengan cara tidak betul.

“Suspek yang berang kemudian dikatakan menikam bonet kereta menggunakan pisau, membaling batu pada cermin selain memecahkan cermin menggunakan alat penginjak kereta,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak keluar dari kenderaan kerana bimbangkan keselamatannya.

“Beberapa pengguna jalan raya, terutama penunggang motosikal berhenti dan meminta suspek supaya berhenti daripada meneruskan tindakannya merosakkan kenderaan mangsa.

“Kejadian turut dirakam pemandu lain ketika kejadian. Selepas kejadian, seorang lelaki berusia 30 tahun tampil di Balai Polis Sentul untuk membuat laporan, namun pihak kami menahannya untuk membantu siasatan.

“Ini kes buli jalan raya. Kami meneruskan siasatan mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta melakukan perbuatan khianat,” katanya – berita harian