BINTULU: Seorang lelaki hanya selangkah daripada maut selepas sempat merangkak keluar daripada Perodua Myvi yang dipandunya, sebelum terbakar di Jalan Tun Hussein Onn, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.47 tengah malam itu, mangsa, Li Poh Siong, 50, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di daerah ini sebelum terbabas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu Mohamad Meramit, berkata mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya setiba di lokasi kejadian sehingga terbabas di bahu kanan jalan sebelum terbalik dan terbakar.

Katanya, selepas terbalik, mangsa yang mengalami kecederaan sempat merangkak keluar daripada keretanya sebelum kenderaan itu tiba-tiba terbakar.

“Kejadian disedari pengguna jalan raya lain sebelum menghubungi bomba. Sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Bintulu dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman dan menyelamatkan mangsa.


“Ketika tiba di lokasi, mangsa sudah berjaya keluar daripada kenderaan yang sedang terbakar. Lelaki terbabit kemudian diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk memadamkan kebakaran selain memastikan laluan berkenaan bersih daripada tumpahan minyak.

Katanya, setakat ini siasatan mengenai punca kejadian masih giat dijalankan pasukan forensik kebakaran BBP Bintulu – berita harian