Oleh:Nazialita Geynna Maharan

GERIK: Niat seorang lelaki dengan berat badan melebihi 120 kilogram untuk melakukan ‘jungle trekking’ tidak kesampaian apabila dia dipercayai maut akibat aktiviti itu di Sungai Ketir, Hutan Royal Belum, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Penolong Penguasa Bomba Azizul Aswad Asaris ketika dihubungi Astro Awani berkata sejurus menerima maklumat awal dari pihak polis kira-kira jam 9.30 pagi, sebuah pesawat Agusta AW139 digunakan bagi memudahkan pengurusan mengeluarkan mangsa.

Jelasnya, mangsa telah meninggal dunia sekitar jam 8 malam semalam (Ahad) namun maklumat mengenai kematian mangsa hanya diketahui pada pagi ini berikutan tiada liputan atau isyarat di kawasan berkenaan.


“Mangsa telah mendapat permit untuk memasuki kawasan berkenaan dan ditemani renjer hutan negeri Perak dalam pendakian itu.

“Difahamkan, mangsa sedang mengambil masa untuk berehat sebelum tidak sedarkan diri dan meninggal dunia tidak lama kemudian,”katanya kepada Astro Awani.

Azizul berkata, jarak perjalanan merangkumi dua jam dengan menaiki bot dan memakan masa enam jam lagi untuk ke lokasi mangsa disyaki berada.

“Pasukan bomba dari unit Pengkalan Bertam telah berlepas pada jam 1.21 petang dan sampai ke Kem Sri Banding pada jam 1.54 petang, pesawat AW 139 diketuai oleh Kapten pesawat, Penguasa Kanan Bomba I, Faisal Izan Azizan,”ujarnya lagi.

Dalam pada itu ujarnya, pesawat dengan tiga orang anak kapal itu telah memulakan operasi ‘bodyvav’ ke Kampung Sungai Ketir dengan menggunakan teknik “winching’ (takal), berikutan tiada lokasi sesuai untuk membuat pendaratan.

“Teknik ‘winching’dilakukan mengambil kira faktor hutan yang tebal, mangsa berjaya dibawa keluar dan sampai di Lapangan Terbang Gerik pada jam 3.33 petang,” katanya.