KUALA LUMPUR: Lelaki warga Pakistan parah ditikam di kepala, dada dan siku selepas menjadi mangsa samun beberapa lelaki dalam kejadian di Jejantas Stesen LRT Sungai Besi, Cheras, kira-kira jam 11 malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa juga kerugian apabila wang tunai RM2,000 yang dibawa turut dilarikan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata mangsa berusia 31 tahun itu dipercayai menjadi mangsa samun kumpulan lelaki yang belum dikenal pasti.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat ditikam dengan objek tajam dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Kejadian membabitkan mangsa ini dilaporkan oleh pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan PPUKM pada jam 11.35 malam tadi selepas mangsa memaklumkan disamun oleh beberapa lelaki ketika berada di jejantas Stesen LRT Sungai Besi.

“Ketika menerima rawatan, mangsa masih dalam keadaan sedar biarpun kecederaan dialami agak parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Abdul Ghani, mangsa sudah pun menjalani pembedahan akibat kecederaan dialami dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan polis kini dalam usaha mengenal pasti serta mengesan kumpulan geng samun berkenaan,” katanya – berita harian