KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan selepas memandu lori tangki secara berbahaya dan melawan arus di Kilometer 27, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala ke Teluk Panglima Garang, Kuala Langat, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata pemandu lori tangki berusia 59 tahun itu ditahan di kawasan rehat dan rawat Tanjung Dua Belas kira-kira pada jam 6 petang.

“Kami menerima aduan daripada seorang pemandu yang sempat mengelak ke arah kiri daripada melanggar lori tangki yang dipandu suspek di lorong kanan lebuh raya.

“Berdasarkan aduan daripada pengadu dan satu video yang tular di media sosial menunjukkan lori tangki terbabit dipandu secara melawan arus, sepasukan polis peronda dikerah untuk mengesan lori tangki terbabit.

“Pasukan berkenaan kemudian berjaya menahan pemandu itu di kawasan rehat dan rawat Tanjung Dua Belas,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Azman berkata, hasil semakan mendapati pemandu berkenaan memiliki saman tertunggak atas kesalahan menggunakan alat telekomunikasi semasa memandu dan memotong secara berbahaya.

“Kita akan menjalankan ujian darah dan air kencing ke atas pemandu terbabit bagi mengesan sebarang penggunaan bahan terlarang.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, dua video masing-masing berdurasi 32 saat dan 6 saat tular di media sosial menunjukkan sebuah lori tangki dipandu secara melawan arus di sebuah lebuh raya – berita harian