PARIT – Akibat disangka babi hutan, seorang lelaki parah selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan ketika sedang membersihkan kebun durian di Kampung Sedengka Ayer Mati, Padang Changkat dekat Bota Kanan di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, mangsa berusia 60 tahun terkena tembakan di lengan kanan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama seorang lagi rakan sedang membersihkan kebun milik suspek.

Katanya, semasa suspek berusia 80 tahun sedang meninjau bahagian lain kebunnya, dia ternampak pokok pisang di kawasan semak bergerak-gerak dan mengesyaki ia babi hutan.

“Suspek menjerit sebanyak dua kali untuk menghalau babi hutan tersebut sebelum dia melepaskan satu das tembakan menggunakan senapang patah.

“Tembakan itu terkena mangsa yang disangkakan babi hutan dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk rawatan,” katanya.

Menurut Mohamad Zainal, selain terdapat banyak lubang besar dan kecil pada lengan tangan kanan mangsa, pergelangan tangan kanan dan jari lelaki itu juga tidak boleh bergerak dan dia telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di tempat kejadian dan telah menjumpai satu kelongsong peluru penabur.

“Polis merampas selaras senapang patah jenis shotgun 12 bore, 45 butir peluru penabur warna hijau pelbagai jenama, satu kelongsong peluru penabur warna hijau, satu buku lesen memiliki senjata dan peluru serta sekeping kad senjata.

“Lelaki warga emas yang ditangkap telah dilepaskan dengan jaminan. Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya. – UTUSAN ONLINE