Kampar: Lelaki parah dalam kemalangan membabitkan tiga lori di kilometer 249.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.45 tengah malam.

Katanya, sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng segera bergegas ke lokasi.

“Anggota yang tiba di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan tiga lori dan terdapat seorang mangsa berusia lingkungan 40an tersepit di tempat duduk pemandu.

“Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan keselamatan dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi diketuai Peguasa Bomba Kanan II Nor Zambri A Wahab ditamatkan pada 2.28 pagi.

-myMetro