IPOH: Seorang lelaki berusia 39 tahun patah kaki kiri selepas digilis lori ketika dia tidur di bawah lori berkenaan pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi di Jalan Delima 4, Batu 6 dekat Tambun di sini, lelaki itu yang dipercayai mabuk difahamkan tidur seketika di bawah lori berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Khairuddin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.51 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati mangsa tidak dapat bergerak akibat kaki kirinya patah digilis lori berkenaan dan masih berada di bawah lori.

Khairuddin berkata, mangsa dipercayai mabuk dan tidur di bawah lori itu sebelum pemandu lori yang tidak menyedari memandu lori berkenaan.

“Anggota yang tiba mendapati mangsa tidak tersepit namun tidak boleh bergerak akibat kecederaan itu.

“Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan menggunakan pengusung sebelum dibawa ke HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi.

-Malaysian Digest.com