KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur yang disyaki memukul abang iparnya menggunakan sebatang paip PVC sehingga patah lengan dan cedera di telinga di Chendering, ditahan polis, Isnin lalu.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud, di sini, jam 2.10 petang, susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Chendering, pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata kejadian dipercayai berlaku jam 5.30 petang pada 29 Mei lalu ketika mangsa berusia 46 tahun berada di rumah sebelum didatangi suspek dalam keadaan marah.

Katanya, suspek yang memegang sebatang paip pvc kemudian dikatakan menyerang abang iparnya dan mangsa menahan serangan suspek menggunakan lengannya.

“Mangsa yang cedera pada lengan dan telinga kiri mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan ditahan seminggu berikutan kecederaan dialaminya.

“Mangsa bukan sahaja terpaksa menerima beberapa jahitan pada lengan, malah terpaksa dimasukkan besi pada bahagian lengannya kerana patah.

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga kerana suspek dikatakan ada mengugut mahu mencederakan mereka, selain mengarahkan mangsa dan keluarga supaya berpindah,” katanya.

Idris berkata, pihaknya turut merampas sebatang paip PVC yang dipercayai digunakan suspek untuk menyerang mangsa sebelum itu.

Katanya, suspek yang positif dadah jenis amphetamine ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya – berita harian