GEORGETOWN: Seorang lelaki putus tangan kanan apabila kereta dipandunya terbabas sebelum terbalik di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 3 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun berasal dari Gelugor, memandu sendirian kereta jenis Jaguar XF.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata siasatan awal mendapati kereta terbabit dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke Bayan Lepas.

“Setiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik di tengah jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa putus tangan kanan dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Anuar berkata, siasatan awal juga mendapati mangsa tidak berada bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Beliau berkata, pihaknya meminta kerjasama saksi kejadian itu untuk menghubungi balai polis trafik berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – berita harian