KAJANG: Seorang lelaki ditahan orang awam selepas disyaki meragut dompet seorang pelanggan di sebuah restoran di Jalan Jelok di sini, semalam,

Dalam kejadian jam 3.30 petang, suspek berusia 24 tahun itu ditahan ketika cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal Yamaha Y15ZR.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata suspek dilihat menunggang motosikal di sekitar kawasan itu beberapa minit sebelum kejadian.

“Suspek kemudian dikata melarikan dompet milik seorang lelaki berusia 36 tahun yang sedang minum di restoran terbabit.

“Bagaimanapun, suspek berjaya dikejar oleh mangsa dengan bantuan orang ramai di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, ketika ditahan, berlaku pergelutan antara suspek dengan orang awam.

“Pergelutan itu menyebabkan suspek cedera di bahagian kaki dan tangan. Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Semakan mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah,” katanya – berita harian