IPOH: Polis menahan seorang lelaki berusia lewat 40-an yang dipercayai individu dalam rakaman video melakukan hubungan seks luar tabii dengan seekor anjing yang kini tular.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, lelaki yang mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau itu ditahan pada Sabtu lalu.

“Pada Sabtu lalu, seorang Pegawai Kanan Polis berada di kuarters Polis IPD Hilir Perak telah mendapat maklumat awam mengenai kejadian seorang lelaki merogol seekor anjing betina di tepi jalan berhampiran restoran Ghulam Rasul, Teluk Intan, Perak.

“Hasil siasatan yang dijalankan telah membawa kepada tangkapan suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia lewat 40an,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Tambah beliau, siasatan juga sedang dijalankan bagi mengetahui sama ada suspek mempunyai gangguan mental.
Kes disiasat di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman sehingga 28 Oktober, katanya.

Sedutan video berdurasi satu minit 30 saat itu menunjukkan seorang lelaki mendukung seekor anjing dan melakukan perbuatan terkutuk itu di hadapan pagar sebuah rumah.

Kelakuannya berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) rumah terbabit.